Friday 20 April 2012

BAB 6 : PERANAN TAMADUN MELAYU DALAM PEMBINAAN TAMADUN MALAYSIA



ASAS PEMBINAAN TAMADUN MELAYU
Pembinaan tamadun melayu diasaskan oleh sifat asasi orang Melayu dan pandangan semesta asas falsafah dan pemikiran. Sifat asasi orang Melayu yang mampu melahirkan peradaban Melayu ialah, konsep Melayu sebagai entity budaya merangkumi pelbagai kaum, etnik dan bangsa, asalkan beragama Islam, berbudaya Melayu dan berbahasa Melayu. Kedinamikan budaya Melayu yang terbuka dan mampu menyerap unsur-unsur positif dari luar. Kekuatan agama Islam yang menjadikan orang Melayu sentiasa berhubungan dengan kekuatan Ilahi.
AGAMA ISLAM, FALSAFAH DAN PEMIKIRAN MELAYU ASAS PEMBINAAN TAMADUN MELAYU-ISLAM
Agama Islam, falsafah dan pemikiran Melayu adalah asas yang menegakkan binaan budaya dan Tamadun Melayu. Ia juga adalah hakikat yang mendasari akal dan nilai orang Melayu dan masyarakatnya. Ia dapat dimanifestasikan dalam bentuk perlakuan, adat resam, budi bahasa dan akhlaknya dalam semua aspek kehidupan sama ada secara individu mahupun secara kelompok.
Yang pertama ialah pembentukan akhlak. Pengamalan ajaran Islam dalam kalangan Melayu dapat dilihat melalui perlakuan dan akhlaknya. Masyarakat yang menghayati ajaran Islam dan berpegang kepada al-Quran dan al-Sunnah adalah masyarakat yang berakhlak mulia dan mengamalkan nilai-nilai yang positif dalam kehidupan.
Yang kedua ialah adat resam masyarakat Melayu. Adat resam masyarakat Melayu dipengaruhi oleh ajaran Islam dan adat Melayu. Sejak lahir lagi masyarakat Melayu dididik dengan adat yang bersendikan agama. Agama Islam, falsafah dan pemikiran Melayu adalah penyumbang ke arah pembentukan pandangan semesta atau weltanschaung yang ada di dalam hati masyarakat Melayu.
PERANAN TAMADUN MELAYU DALAM PEMBINAAN TAMADUN MALAYSIA
Masyarakat Melayu merupakan masyarakat yang terbesar dalam menyumbang ke arah kelangsungan tamadun Malaysia. Peranannya dapat dilihat dalam Pembinaan Negara Bangsa, Pandangan Semesta Melayu Islam, Peranan Islam Sebagai Agama Rasmi dan Peradaban dan Budaya Melayu.
Perbinaan Negara Bangsa
Negara adalah suatu masyarakat yang menduduki kawasan tertentu dan diperintah oleh sebuah kerajaan. Bangsa pula merujuk kepada kumpulan manusia dalam satu ikatan negara. Negara bangsa pula merupakan masyarakat pelbagai etnik, agama dan budaya mengamalkan sikap persefahaman dan toleransi dalam suasana yang harmoni. Orang Melayu perlu mengambilkira peranan penting kaum-kaum lain. Bahasa Melayu harus terus menjadi wahana budaya dan sebagai penyalur kebudayaan kebangsaan Malaysia.
Pandangan Semesta Melayu Islam
Tamadun Melayu adalah pemangkin kepada pembentukan pandangan semesta Malaysia berasaskan ajaran Islam. Tamadun Melayu Islam pada asasnya telah dibina di atas enam dasar pandangan semesta iaitu Islam Agama Wahyu, Allah Sebagai Pencipta, Konsep Pembalasan, Mementingkan Nilai, Konsep Kesederhanaan dan Konsep Akauntabiliti.
Peranan Islam Sebagai Agama Rasmi
Agama Islam dan adat Melayu penting dalam kelangsungan tamadun Melayu sebagai asas Tamadun Malaysia. Sejarah membuktikan bahawa Islam telah diisytiharkan sebagai agama rasmi di Melaka dan mampu membina sebuah institute, undang-undang dan jawatan pentadbiran. Islam mengatur segala aspek kehidupan manusia aspek-aspek seperti kepercayaan, peribadatan, pembentukan akhlak, mualamat dan munakahat. Islam bukan sahaja menjadi unsur dalam takrifan Melayu malah juga menjadi agama Persekutuan. Termaktub dalam Fasal 3 Perlembanganan Persekutuan bahawa Islam adalah agama Persekutuan dan setiap raja atau sultan adalah ketua agama bagi setiap negeri di dalam Persekutuan. Walaupun Islam adalah agama Persekutuan, agama-agama lain bebas diamalkan oleh orang-orang bukan Melayu dan bukan Islam dalam Persekutuan.
Peradaban dan Budaya Melayu
Peranan budaya Melayu amat penting dalam usaha kelangsungan tamadun Malaysia. Budaya dan peradaban Melayu pemangkin kepada tamadun Malaysia jika mengamalkan ciri-ciri seperti Masyarakat yang Berilmu, Kekuatan Ekonomi dan Pengurusan Harta, Masyarakat Penyayang dan Toleransi.

2 comments: